


Skrip semua salah Najib sudah basi
By Manzaidi Mohd Amin - 17 May 2020
KUALA LUMPUR – Skrip “semua salah Najib” sudah basi, kata Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil.
Justeru, beliau menyarankan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz mencari skrip lain, selain menyalahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Tadi, Mukhriz berkata dia jatuh sebagai Menteri Besar Kedah kali ini sebab Najib. Dia kata, Najib adalah watak utama atau protagonist sebenar di belakang kejatuhannya.
“Saya ingin sarankan kepada Mukhriz dan ayahnya (Mahathir) supaya cari skrip lainlah, skrip “semua salah Najib” ini sudah basi. Seperti yang saya sebut sebelum ini, Najib bukan lagi Perdana Menteri ataupun Presiden UMNO.
“Yang keluar parti sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah jatuh itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, bukan ADUN UMNO,” katanya dalam kenyataan yang dipetik media hari ini.
Mukhriz dalam sidang media mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar hari ini, menggambarkan Najib sebagai pembawa watak protagonis sebenar dalam usaha menggulingkan beliau sejak tahun 2016 lagi.
Beliau menyatakan, tindakan Najib itu tidak lain tidak bukan bertujuan melepaskan dirinya dari tuduhan pecah amanah 1MDB, SRC International dan banyak lagi skandal mega yang mencemar nama baik Malaysia di persada dunia.
Menurut Isham, dalam kerajaan PH Kedah, UMNO hanya mempunyai dua ADUN sahaja.
“Sebenarnya ia salah Mukhriz sendiri dan beliau perlu bertanggungjawab serta menerima kenyataan itu.
“Hakikatnya, rakyat Kedah sering lihat Menteri Besarnya selalu balik ke Kuala Lumpur seakan Mukhriz tidak selesa duduk di Kedah. Bahkan, peruntukan kepada wakil rakyat juga tidak diberi secara sama rata macam ada pilih kasih,” katanya.
Mengenai dakwaan Mukhriz bahawa Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga dikatakan menjadi dalang kejatuhannya, Isham berkata, Menteri Dalam Negeri itu adalah Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), bukan UMNO.
“Mukhriz juga hendak bertanding jawatan Presiden PPBM bagi mencabar Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Dr. Mahathir pula membuat usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri di Parlimen.
“Ini semua tentunya mengundang tindak balas setimpal yang sepatutnya telah diagak oleh Mukhriz dan Dr. Mahathir. Bagaimana pula tiba-tiba Najib juga yang salah?.
“Jika kita bergantung dan percaya kepada Dr. Mahathir, anaknya dan konconya, maka mengikut mereka tentunya tidak kiralah walaupun tiada bukti, tiada fakta atau tiada angin dan sebagainya, apa-apa pun Najib tetap salah dalam apa-apa pun hal,” katanya.
Secara berseloroh beliau menyatakan, dua beranak itu rupanya masih takut dengan bayang-bayang Najib, malah mengigau pun mungkin teringat Najib. – MalaysiaGazette
BILA SI BACUL BERSUARA
Sudah tentu Mukhriz Mahathir terpaksa menuding jari kepada orang lain walaupun hakikat sebenar kejatuhan dirinya sebagai Menteri Besar akibat daripada kejahilannya sendiri.
Sungguh menjangkalkan apabila menyatakan bahawa Najib Razak adalah individu di belakang Muhyiddin Yassin.
Kenapa Mukhriz tidak bersama PPBM untuk keluar daripada Pakatan Harapan sedangkan PPBM membuat keputusan kolektif di dalam hal sebegini.
Semuanya kerana Mukhriz sedar, tanpa Tun M di sisinya tidak ada parti politik yang mahukan dia termasuk DAP, PKR dan Amanah.
Satu perkara yang rakyat Malaysia kena faham ialah kenapa Mukhriz bertanding jawatan Presiden PPBM di kala Muhyiddin langsung tidak menganggu gugat jawatan Pengerusi PPBM yang di tandingi oleh Tun M.
Ia jelas membuktikan Mukhriz amat terdesak dan mudah di pengaruhi oleh anasir jahat untuk menghancurkan PPBM sendiri. Apakah Mukhriz yakin jika bersama PH maka dia akan di angkat sebagai Perdana Menteri.
Penafian demi penafian Mukhriz mengenai kuasa akhirnya terjawab hari ini, di mana dia memang bukan pemimpin sejati tetapi muncul di dalam politik atas kepentingan dirinya serta kaum keluarganya sahaja.
Yang pasti, Mukhriz bakal senasib akhirnya dengan Tamrin Ghaffar yang kini hanya menjadi pelacur politik orang lain
KUALA LUMPUR: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berisiko memburukkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
Ketua Sektor Politik Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata usul itu tidak kena pada masanya ketika negara masih bergelut dengan wabak COVID-19.
Beliau mempersoalkan sama ada bekas Perdana Menteri itu benar-benar sayangkan bangsanya kerana jika usul itu berjaya, ia akan menyebabkan kejatuhan sebuah kerajaan pemerintahan dominan orang Melayu dan Bumiputera.
"Demi kestabilan politik negara, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat selepas pandemik COVID-19 dikalahkan, kerajaan dipimpin Muhyiddin perlu kekal meneraju negara tanpa diganggu Dr Mahathir dengan kerenah politik kepentingan diri yang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat dan negara.
"Justeru, QIAM menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin untuk terus menerajui negara bagi melaksanakan berbagai program keprihatinan dan kesejahteraan rakyat yang menderita akibat wabak COVID-19," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jumaat lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof, memaklumkan menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, yang dikemukakan Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi pada 4 Mei lalu, mengikut Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).
Wan Ahmad berpandangan, tindakan Dr Mahathir itu seolah-olah cuba mempertikai kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan, seperti termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
"Bukankah pelantikan itu sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan?" katanya.
Wan Ahmad menegaskan, Yang di-Pertuan Agong terpaksa membuat pelantikan selepas Dr Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri atas kerelaannya dan tanpa dipaksa oleh Muhyiddin.
"Apakah kebaikan kepada rakyat, khasnya orang Melayu-Bumiputra di sebalik tindakan Dr Mahathir mengemukakan usul tidak percaya bagi menyingkirkan Muhyiddin, selain untuk kepentingan politik peribadi dan membuka peluang kepada Pakatan Harapan (PH) dan DAP kembali menerajui negara," katanya...