Skrip basi

Skrip semua salah Najib sudah basi
By Manzaidi Mohd Amin - 17 May 2020


KUALA LUMPUR – Skrip “semua salah Najib” sudah basi, kata Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil.


Justeru, beliau menyarankan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz mencari skrip lain, selain menyalahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


“Tadi, Mukhriz berkata dia jatuh sebagai Menteri Besar Kedah kali ini sebab Najib. Dia kata, Najib adalah watak utama atau protagonist sebenar di belakang kejatuhannya.


“Saya ingin sarankan kepada Mukhriz dan ayahnya (Mahathir) supaya cari skrip lainlah, skrip “semua salah Najib” ini sudah basi. Seperti yang saya sebut sebelum ini, Najib bukan lagi Perdana Menteri ataupun Presiden UMNO.


“Yang keluar parti sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah jatuh itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, bukan ADUN UMNO,” katanya dalam kenyataan yang dipetik media hari ini.


Mukhriz dalam sidang media mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar hari ini, menggambarkan Najib sebagai pembawa watak protagonis sebenar dalam usaha menggulingkan beliau sejak tahun 2016 lagi.


Beliau menyatakan, tindakan Najib itu tidak lain tidak bukan bertujuan melepaskan dirinya dari tuduhan pecah amanah 1MDB, SRC International dan banyak lagi skandal mega yang mencemar nama baik Malaysia di persada dunia.


Menurut Isham, dalam kerajaan PH Kedah, UMNO hanya mempunyai dua ADUN sahaja.


“Sebenarnya ia salah Mukhriz sendiri dan beliau perlu bertanggungjawab serta menerima kenyataan itu.

“Hakikatnya, rakyat Kedah sering lihat Menteri Besarnya selalu balik ke Kuala Lumpur seakan Mukhriz tidak selesa duduk di Kedah. Bahkan, peruntukan kepada wakil rakyat juga tidak diberi secara sama rata macam ada pilih kasih,” katanya.


Mengenai dakwaan Mukhriz bahawa Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga dikatakan menjadi dalang kejatuhannya, Isham berkata, Menteri Dalam Negeri itu adalah Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), bukan UMNO.


“Mukhriz juga hendak bertanding jawatan Presiden PPBM bagi mencabar Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Dr. Mahathir pula membuat usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri di Parlimen.


“Ini semua tentunya mengundang tindak balas setimpal yang sepatutnya telah diagak oleh Mukhriz dan Dr. Mahathir. Bagaimana pula tiba-tiba Najib juga yang salah?.


“Jika kita bergantung dan percaya kepada Dr. Mahathir, anaknya dan konconya, maka mengikut mereka tentunya tidak kiralah walaupun tiada bukti, tiada fakta atau tiada angin dan sebagainya, apa-apa pun Najib tetap salah dalam apa-apa pun hal,” katanya.


Secara berseloroh beliau menyatakan, dua beranak itu rupanya masih takut dengan bayang-bayang Najib, malah mengigau pun mungkin teringat Najib. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan:

Catat Komen

Komen yang berfakta disertakan link adalah digalakkan, komen berunsur lucah dan makian tidak dibenarkan dan komen tersebut tidak akan diterbitkan dan dipadam

by
mnorkembalak

Rakan Blog KBE

Catatan Popular