WAHAI MUHYIDDIN, SIAPAKAH KLEPTOKRAT?
Dr Mamat Desa
17 Ogos 2021
Sebenarnya apakah maksud ‘kleptokrat’?
‘Kleptokrat’ ialah orang yang mengamalkan kleptokrasi.
Manakala ‘kleptokrasi’ pula bermaksud pemimpin yang menggunakan kuasa politik untuk memenuhi kekayaan mereka, dengan menggelapkan atau menyalahgunakan dana kerajaan dengan mengorbankan rakyat.
Apabila TS Muhyiddin dan konco-konconya menggunakan kata panggilan (name calling dalam konsep komunikasi massa) ‘kleptokrat’ untuk menggambarkan salah laku DS Najib, nampaklah sangat bahawa mereka jahil tentang definisi semantik ‘kleptokrat’ itu sendiri.
Kata TS Muhyiddin “Enam tahun yang lalu, saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.”
Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau tidak sesekali mengorbankan prinsipnya untuk bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat dengan mencampuri bidang kuasa badan kehakiman.
Muhyiddin dan konco-konconya terpengaruh dengan Tun Mahathir yang kerap menggunakan istilah kleptokrat malah menokok-tambah dengan istilah ‘penyangak’, ‘pencuri’, ‘penyamun’ dan sebagainya.
Mereka sering berwirid dengan kata-kata keramat ‘penyelewengan 1MDB’ kerana mereka mahu menunjukkan sokongan padu mereka terhadap Tun Mahathir yang pernah dilabelkan oleh Mat Sabu sebagai ‘Bapa Pelingkup Negara’ dan ‘Kepala Perompak Negara’.
Rakan baik Tun Mahathir dalam urusan Forex, George Soros telah melabelkan Mahathir sebagai ‘A corrupt moron’, antaranya membeli tanah untuk membina ‘Menara Kembar Petronas’ daripada kroninya dengan harga yang amat mahal menggunakan dana negara, sedangkan tanah itu pada awalnya dijual kepada kroninya dengan harga yang amat rendah.
Faham-faham sajalah ke mana perginya keuntungan daripada pembelian tanah yang amat mahal itu.
Kemudian pelbagai projek pada premis Menara Kembar itu diberikan kepada ahli keluarganya, dan ini disitilahkan oleh Soros sebagai nepotisme.
Tidakkah Mahathir merupakan ‘Bapa Kleptokrat’ apabila dana negara digunakan untuk ‘bailout’ syarikat perkapalan anaknya, kerjasama dengan kroninya dalam syarikat mega ‘Perwaja Steel’ tetapi syarikat itu muflis, kes Forex BNM dengan kerugian RM30 bilion yang dinilai sebagai RM100 bilion pada nilai semasa, isu muflis Maminco, kes BMF sehingga membabitkan pembunuhan akauntan Jalil Ibrahim, dan banyak lagi yang penat untuk disenaraikan?
Daripada definisi Wikipedia, apakah kata kunci definisi kleptokrat atau prinsip kleptokrasi itu?
Daripada definisi Wikipedia itu, ada tiga kelompok kata kunci ‘kleptokrasi’ iaitu:
- Menggunakan kuasa politik untuk memenuhi kekayaan
- Menggelapkan atau menyalahgunakan dana kerajaan
- Mengorbankan rakyat
Adakah DS Najib Razak telah menggunakan kuasa politik untuk memenuhi kekayaannya?
DS Najib datang daripada golongan dan kerabat orang besar istana Pahang, yang sememangnya daripada legasi kekeluargaannya adalah kaya dan hartawan.
DS Najib Razak, adalah Orang Kaya Indera Shahbandar ke-11, sebagaimana dicatatkan, YAB Dato’ Sri Haji Mohd. Najib (MB Pahang ketika itu) adalah anakanda kepada Orang Kaya Indera Shahbandar ke-10 AlMarhum Tun Haji Abdul Razak.
Gambar Atas: Orang Kaya Indera Shahbandar ke-10, Tun Haji Abdul Razak bin YDH Dato’ Hussein mengiringi KDYMM Almarhum Sultan Abu Bakar menghadiri Majlis Mesyuarat Negeri Pahang pada 2 Februari 1955.
Tidak seperti TS Muhyiddin yang apabila mengisytiharkan hartanya, telah diperakui mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh tetapi dia bukan datang daripada golongan hartawan, sebaliknya telah mengumpulkan hartanya ketika menjadi penjawat awam dan kemudiannya diangkat sebagai MB Johor.
Dia diberikan jawatan Menteri Besar Johor bukan kerana dia keturunan golongan pembesar istana seperti DS Najib Razak, sebaliknya kerana dia adalah Pengerusi UMNO Johor.
Bekas Setpol MB Selangor, Faekah Husin, pernah menempelak Muhyiddin apabila pejabat MB Johor sering menjadi tempat ‘bersidai’ kroni-kroni yang tamakkan projek.
Golongan tersebut juga telah mengaut kekayaan menerusi pemberian projek secara terus, dan ada yang menjadi orang tengah dan para pelobi.
Golongan ini, kata Faekah, tidak mempunyai modal atau kepakaran tetapi sekadar cukup “menjual air liur kepada ahli politik. Senario ini telah berlaku semenjak Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor dan ia masih berterusan sehingga sekarang.”
Faekah mendakwa banyak projek besar bernilai jutaan dan bilion diberikan kepada kroni-kroni dan kemudian menjual tender tersebut kepada syarikat lain semata-mata untuk mendapatkan komisyen.
Sebagai bekas Setpol kepada MB Selangor, Faekah mempunyai ‘locus standi’ untuk membangkitkan isu kecenderungan rasuah pada TS Muhyiddin Yassin.
Lihatlah gelagat Muhyiddin yang didakwa menawarkan kedudukan pangkat kepada ahli politik untuk menarik mereka menyokongnya bagi mendapatkan sokongan majoriti, sebagaimana di dakwa oleh MP DAP dan PKR.
Lantas, tidakkah Muhyiddin ‘menggunakan kuasa politik untuk memenuhi kekayaan dan kuasanya sebagaimana terkandung dalam definisi ‘kleptokrat’?
Adakah DS Najib telah ‘Menggelapkan atau menyalahgunakan dana kerajaan?’
Tidak usahlah hendak menuduh DS Najib dengan isu 1MDB jika syarikat itu telah meminjam dana kerajaan bernilai RM32 bilion, tetapi telah memulangkan RM34 bilion.
Tidak usahlah hendak menggolongkan DS Najib sebagai telah menyelewengkan dana 1MDB jika tuduhan mahkamah dibuat ketika satu dunia tahu bahawa kerajaan PH melaksanakan ‘undang-undang rimba’ kerana masuk campur badan eksekutif dalam badan kehakiman, sebagaimana diperakui oleh bekas Peguam Negara TS Tommy Thomas.
Adakah DS Najib telah mengorbankan rakyat?
Butakah Muhyiddin dengan program BR1M yang nikmatnya dirasai oleh golongan miskin. Begitulah juga apabila Muhyiddin menyalurkan dana negara kepada rakyat untuk membantu mereka meladeni kehidupan ketika bencana Covid19.
Cuba tanya TS Khalid Ibrahim tentang dasar DS Najib berbanding dengan era kronisme, nepotisme Mahathir?
DS Najib telah membantu GLC dan keuntungannya diberikan kembali kepada rakyat, berbeza dengan Mahathir apabila syarikat hampir muflis dia bantu dengan menggunakan dana negara, tetapi setelah syarikat kaya dengan keuntungannya, kekayaan itu hanyalah untuk kroninya.
Lantas, Muhyiddin, tidak perlukah menggunakan istilah kleptokrat sekiranya tidak tahu apa maknanya.
Sebaliknya Muhyiddin lupa apabila PH dilabelkan sebagai kerajaan kakistokrasi yang bermakna sistem pemerintahan yang dijalankan oleh pemimpin terburuk, paling tidak berkelayakan, atau paling tidak bertanggungjawab.
Berbanding dengan kleptokrat dan kakistokrat, lebih menakutkan apabila melihat kakistokrat PH yang memerintah hanya selama 22 bulan tetapi penuh dengan kecelaruan, haru-biru dan lintang-pukang.
Isu komunisme, isu ICERD, Statut Rome, isu pengganas LTTE, isu Tabing Haji, isu pembunuhan anggota bomba Adib Kassim, isu kes digugurkan oleh ‘undang-undang’ rimba Tommy Thomas, isu Menteri Pertahanan ‘terbodoh di dunia’, isu kes Guan Eng digugurkan bertentangan dengan perlembagaan, isu ADUN Tronoh rogol pembantu rumah, janji palsu manifesto, isu Ahli Exco samseng, isu semburit, rasuah projek ‘Terowong Bawah Laut’, isu pemimpin bodoh (rujuk Tun Daim Zainuddin), isu ijazah palsu pemimpin PH, dan macam-macam lagi yang selari dengan definisi kakistokrat yang diberikan oleh Wikipedia.
Lain kali Muhyiddin kalau tidak tahu makna kleptokrat baiklah diam, dan cubalah buka kamus dan lihat apa makna kakistokrasi yang amat tepat untuk menggambarkan kerajaan PH Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang berfakta disertakan link adalah digalakkan, komen berunsur lucah dan makian tidak dibenarkan dan komen tersebut tidak akan diterbitkan dan dipadam
by
mnorkembalak