Mahathir Tidak Boleh DiPercaya Sampai KeUsus

Di mana-mana sahaja di seluruh negeri termasuk di laman maya rakyat Sabah mempersoalkan apa yang pernah dibawa oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan yang diketuai DAP membuat keputusan melantik beliau ke jawatan itu untuk sementara jika pembangkang berjaya mentadbir Putrajaya. 


Perbincangan dalam kalangan rakyat marhaen itu ternyata mendedahkan pelbagai kelemahan Dr. Mahathir yang bermula daripada tindakannya menggunakan sistem penggiliran Ketua Menteri setiap dua tahun sehingga membantutkan pembangunan negeri kepada penarikan hak-hak negeri ini dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 


Masih lekat diingatan rakyat Sabah apabila pada tahun 1983 Dr. Mahathir membatalkan perundangan tentang hak eksklusif rakyat Sabah dalam pembekalan elektrik dan industri gas apabila diberikan kepada Persekutuan walaupun jelas terkandung di dalam MA63. 


Selain itu, pada tahun 1996 kuasa Imigresen yang ada pada kerajaan negeri cuba dihapuskan dengan alasan memberi keadilan kepada semua negeri tetapi berjaya dikekang selepas pemimpin-pemimpin negeri membantah keras langkah berkenaan. Pemimpin-pemimpin Sabah sendiri mengakui semasa zaman Dr. Mahathir, MA63 seolah-olah menjadi dokumen paling dirahsiakan sehingga tiada sesiapa yang berani bercakap tentang perkara itu secara terbuka kerana akan ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tanpa sebab.


Pada masa sama, dalam aspek pembangunan pula, rakyat Sabah hanya mampu melihat pelbagai mercu tanda kemajuan negara ditumpukan di Semenanjung oleh Dr. Mahathir. Persoalan mereka mudah, kenapa semua mercu tanda kemajuan negara itu tertumpu di sana sedangkan kebanyakan hasil bumi di Sabah sudah diambil oleh kerajaan pimpinan Dr. Mahathir. 


Tidak layakkah Sabah diberikan lebih? Berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau lebih peka kepada keperluan rakyat Sabah malah hak-hak negeri di dalam MA63 menjadi perbincangan terbuka apabila Najib berjanji akan memulangkan jika ada yang terambil di peringkat Pusat sebelum ini. Lebuh Raya Pan Borneo Sabah merupakan projek paling bernilai yang akan menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri ini dan akan siap pada 2021 serta pelbagai lagi peruntukan kepada Sabah demi memastikan kebajikan rakyat negeri ini sentiasa dibela. 


Seperti diakui Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad dalam program Seminar Memperkasa Kepimpinan Wanita UMNO hari ini bahawa pemerintahan Najib jauh lebih baik berbanding Mahathir kerana keikhlasan Perdana Menteri membantu rakyat Sabah. “Sipitang ini kawasan pedalaman tetapi sudah tiga kali Najib datang bukan macam Dr. Mahathir 22 tahun pegang jawatan itu tidak pernah langsung pijak tanah di sini. “Najib datang bukan sahaja untuk lancar Lebuh Raya Pan Borneo Sabah tetapi dia juga datang semasa karnival gasing, ini sukan rakyat pun dia boleh datang di sini,” katanya. 


Jika Pakatan Harapan menganggap Dr. Mahathir adalah pemegang kunci untuk mentadbir Putrajaya, mereka lupa bahawa beliaulah sebenarnya yang telah mengunci pintu kemajuan di Sabah selama 22 tahun. Justeru, layakkah beliau menjadi Perdana Menteri kepada rakyat Sabah? – Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang berfakta disertakan link adalah digalakkan, komen berunsur lucah dan makian tidak dibenarkan dan komen tersebut tidak akan diterbitkan dan dipadam

by
mnorkembalak

Rakan Blog KBE

Catatan Popular