Nazri Sifatkan ‘Raja Gula’ Sebagai ‘Pengecut’


Nazri Sifatkan ‘Raja Gula’ Sebagai ‘Pengecut’ Perak Hari Ini PADANG RENGAS: 


Tindakan tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok yang didakwa menyalurkan sumbangan dana kepada parti pembangkang, DAP dengan dikatakan mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia pimpinan Barisan Nasional (BN) boleh diibaratkan sebagai ‘seekor anjing yang mengigit tangan kepada orang yang memberinya makanan’. 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata ‘Raja Gula’ itu juga dibaratkan sebagai ‘kacang yang lupakan kulit’ kerana telah lupa akan segala sumbangan dan pertolongan kerajaan yang membantunya sehingga berjaya dan menjadi seorang jutawan yang terkemuka di negara serta dunia. 

“Tidak ada sesiapa di dunia ini dilahirkan kaya melainkan dia mendapat ‘kunci’ daripada kerajaan yang membolehkan dia menjalankan perniagaannya. “Memang dari sudut undang-undang dia tidak bersalah dalam menyalurkan dana kepada mana-mana parti politik. “Namun sebagai kerajaan semestinya kita tersinggung kerana kita telah menganggap dia sebahagian daripada rakyat Malaysia yang telah menyumbangkan nama baik kepada negara kita,” katanya. 

Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata tindakan Kuok juga sedikit sebanyak bakal menganggu-gugat keharomonian masyarakat Malaysia yang mana kemungkinan masyarakat Cina yang tidak bersalah mula akan dipandang serong segelintir pihak. Pada masa sama, Nazri turut bertegas akan menentang tokoh korporat itu selain mencabarnya untuk memasuki ke arena politik. “Kalau anda mahu lawan, kita akan lawan. Kita nak tengok seberapa mana kekayaan dia boleh belanja beri pada DAP untuk lawan kita. “Saya akan lawan dia habis-habisan. Kamu (Kuok) kalau berani, mari datang (pulang) Malaysia. Jangan duduk luar negara, jadi pengecut, penakut, ‘pondan’, ‘tak ada ‘telur’’, beri duit kepada pembangkang, mahu jatuhkan BN. Kamu tak akan menang,” ujar beliau dengan nada marah. 

Selain itu, Nazri juga berpendapat Kuok sepatutnya memulangkan kembali kewarganegaraannya itu kepada kerajaan atas tindakannya yang tidak bertanggungjawab itu. Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 175 penerima yang tidak mempunyai akaun bank, di Pusat Kegiatan Masyarakat Kubang Panjang, dekat sini, pada Isnin. 

Seorang Penganalisa Politik, Raja Petra Kamaruddin menerusi portal Malaysia Today, baru-baru ini dilaporkan mendakwa, Kuok mempunyai agenda untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan BN dan digantikan dengan DAP. Raja Petra turut mendakwa, Kuok menentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) ketika pelancarannya pada 1970, dan menyuarakan bantahan itu kepada pemimpin UMNO, seperti dilaporkan akhbar Singapura, The Straits Times pada 4 Disember tahun lalu. Pada 2017, Forbes melaporkan Kuok, 94, mengetuai senarai individu terkaya di Malaysia, dengan nilai bersih kekayaan berjumlah AS$11.4 bilion, hasil penguasaan dalam sektor perdagangan minyak sawit, perkapalan dan hartanah. 

Kuok dilaporkan kini sedang menetap di London, United Kingdom.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang berfakta disertakan link adalah digalakkan, komen berunsur lucah dan makian tidak dibenarkan dan komen tersebut tidak akan diterbitkan dan dipadam

by
mnorkembalak

Rakan Blog KBE

Catatan Popular