Myanmar oh Myanmar


Rakaman pemandangan Negeri Rakhine dari udara menunjukkan banyak penempatan Rohingya diratakan, mencetuskan semula tuduhan bahawa Myanmar memusnahkan kediaman dan melenyapkan sejarah etnik minoriti Islam berkenaan. Hampir 700,000 penduduk Rohingya meninggalkan Negeri Rakhine, barat Myanmar dan berlindung di Bangladesh sejak serangan pemberontak ke atas lebih 30 pos polis lewat tahun lalu mencetuskan operasi ketenteraan penuh kejam. 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengetuai kecaman global terhadap tindakan keras tentera Myanmar, menyifatkannya sebagai penghapusan etnik. Aktivis-aktivis hak asasi manusia pula berkata, kemusnahan sistematik beratus-ratus perkampungan, masjid dan harta benda lain merupakan cubaan berkesan untuk memadamkan kaitan etnik Rohingya dengan tanah air mereka. Penduduk minoriti Islam itu tidak diiktiraf sebagai sebuah kumpulan etnik minori­ti di Myanmar dan ditindas berdekad-dekad lamanya. Malah, banyak pihak bimbang bahawa operasi tentera Myanmar lewat tahun lalu itu merupakan percubaan mengusir etnik Rohingya dari Myanmar untuk selama-lamanya.

Gambar-gambar yang di­siarkan di media sosial selepas lawatan diplomatik ke zon konflik di Rakhine pada ming­gu lalu menyokong dakwaan tersebut. Imej menghantui fikiran yang disiarkan di akaun Twitter Duta Kesatuan Eropah ke Myanmar, Kristian Schmidt itu menunjukkan wilayah yang rosak dengan tanah-ta­nah diratakan. Kampung-kampung Rohingya yang dibakar semasa operasi tentera kelihatan diratakan jentolak, tanpa saki-baki struktur mahupun pokok kayu. “Penduduk Rohingya terkejut melihat kampung-kampung mereka hangus,” kata Chris Lewa, ketua badan bukan kerajaan Projek Arakan yang bertahun-tahun membantu etnik Rohingya di Rakhine. “Mereka bimbang musim hujan yang bakal tiba akan melenyapkan sama sekali pe­ninggalan kehidupan masa lampau mereka,” tambahnya. Pada tahun lalu, Myanmar dan Bangladesh menanda ta­ngani perjanjian penghantaran semula pelarian Rohingya yang sepatutnya dilaksanakan pada Januari lepas.

Namun, ramai pelarian Rohingya enggan pulang ke Negeri Rakhine tanpa jaminan bahawa hak asasi dan kese­lamatan mereka dilindungi. Pihak berkuasa di Myanmar pula bertegas akan menyaring dengan ketat semua pelarian Rohingya dan akan hanya menerima mereka yang disahkan sebagai penduduk Rakhine. Pengkritik-pengkritik perjanjian tersebut berkata, proses kontroversi itu berkemungkinan besar mengakibatkan ramai pelarian Rohingya tidak dapat kembali ke tanah air mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang berfakta disertakan link adalah digalakkan, komen berunsur lucah dan makian tidak dibenarkan dan komen tersebut tidak akan diterbitkan dan dipadam

by
mnorkembalak

Rakan Blog KBE

Catatan Popular