Pemimpin Selangor Dapat Undi Rakyat Kendong Baldi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan peneroka Felda di negara ini bakal berhadapan dengan masalah untuk memasarkan hasil minyak sawit sekaligus meninggalkan kesan kepada ekonomi negara jika pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti. 

Ini kerana pembangkang menyatakan akan membatalkan segala kontrak perjanjian dengan negara China sekiranya parti itu menang pada PRU itu. "Kerajaan mengamalkan dasar hubungan baik dengan kuasa-kuasa ekonomi besar dunia termasuk China dan India serta negara-negara lain kerana mereka akan membeli minyak kelapa sawit yang dikeluarkan oleh peneroka Felda di negara ini. 

"Cuba bayangkan kalau mereka batalkan perjanjian itu, hubungan antara dua negara akan menjadi keruh...kalau keruh minyak sawit ini tidak laku dan tidak boleh jual, yang susah bukan mereka (pembangkang), tetapi peneroka Felda sendiri.

 "Jangan jadi macam Selangor, pemimpin mereka dapat undi, tetapi rakyat dapat baldi kerana kegagalan kerajaannya untuk menguruskan soal air, " kata Najib ketika berucap di Majlis Ramah Mesra di Parlimen Paya Besar di Felda Lepar Hilir 1 Paya Besar Pahang Sabtu malam.

Bernama melaporkan turut hadir di majlis itu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Paya Besar Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah. Mengikut rekod, selain India dan Kesatuan Eropah, China merupakan antara negara terbesar yang membeli minyak sawit dari Malaysia.

Sehubungan itu beliau meminta supaya peneroka Felda yang menjadi penyokong kuat kerajaan BN selama ini membuat pilihan yang tepat pada PRU14. Menurutnya hasil hubungan diplomatik yang erat kerajaan dengan negara-negara termasuk Arab Saudi dan China ini telah membuka banyak ruang ekonomi dan faedah untuk rakyat termasuk menerusi (eksport) hasil pertanian dan (peruntukan) tambahan kuota haji.

Dalam pada itu, Najib turut menzahirkan komitmen untuk terus menjalankan agenda pembangunan di kawasan luar bandar. Beliau berkata, "Sesetengah tempat lain kehidupan mereka lebih mewah dari sini, ada tempat itu mereka mendapat segala kemudahan tetapi tidak sekuat mana menyokong kerajaan BN, tetapi tempat seperti ini (Paya Besar) tetap kuat menyokong kita.

"Sebab itu kerajaan tidak akan lupakan agenda pembangunan di luar bandar supaya mereka seiring dengan pembangunan di bandar, namun agenda di bandar tetap perlu diteruskan kerana kita perlu untuk mengembangkan ekonomi. "Apabila ekonomi berkembang, hasil negara akan bertambah dan kita dapat mengagihkannya ke luar bandar, " katanya. Dalam majlis tersebut,

Najib juga mengumumkan bahawa Felda kini dalam penelitian akhir untuk menggagihkan lot tanah kepada generasi kedua dan ketiga bagi membolehkan mereka mendirikan rumah di tanah milik ibu bapa mereka. "Kita akan mula agih tanah lot ini yang dijangka dapat dimulakan pada 1 April dan dibuat dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)," katanya.

Selain itu, Najib mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk pembinaan masjid Lepar Hilir, pemasangan lampu jalan di laluan masuk Felda Bukit Sagu (RM2 juta) dan pembesaran laluan masuk ke Felda Hilir Lepar 1 melalui Pulau Manis yang dianggap jalan maut (RM4 juta) serta pemasangan lampu jalan ke Felda Panching.

Perdana Menteri turut menunaikan hasrat beliau untuk mengadakan majlis tahlil kepada dua pemimpin UMNO Paya Besar iaitu Ketua Bahagian, Datuk Seri Abdul Manan Ismail yang meninggal dunia pada 12 Feb lalu dan ADUN Lepar, Datuk Mohd Shohaimi yang meninggal dunia pada 31 Dis lalu. Majlis itu diketuai Kadi Daerah Maran, Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah. "Ini sebagai menghargai sumbangan, jasa dan budi mereka kepada kita. Kita juga akan meneruskan perjuangan mereka," katanya.-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang berfakta disertakan link adalah digalakkan, komen berunsur lucah dan makian tidak dibenarkan dan komen tersebut tidak akan diterbitkan dan dipadam

by
mnorkembalak

Rakan Blog KBE

Catatan Popular